
Jika ditanya artis Malaysia manakah yang mampu beri vibe model ala Paris, dengan pemilihan fesyen yang unik dan penuh makna jawap Wanista adalah Aina Abdul.
Masih terbayang-bayang di kaca televisyen malam tadi, tak berkedip mata melihat fesyen yang ditampilkan Aina di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 tahun ini.
Rekaan busana yang menampilkan kreativiti dan artistik sentimental ini, berjaya membuatkan Wanista terpegun seketika dan memerhatikan perincian fesyen yang digayakan oleh wanita berbakat ini.
Fesyen Dan Lagu Seiring
Di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 kali ini, Aina Abdul menampilkan hasil eksperimen fesyen unik yang menonjolkan maksud tersirat lagu yang dipertandingkan.
Dari rekaan topi hinggalah kepada perincian busana yang dipakainya, membawa bait-bait lirik lagu “Semalam” yang dinyanyikan oleh Aina.
Metafora Artistik Topi Gergasi
- Foto – Instagram Aina Abdul/ Aina Abdul’s Official Fan Club
Aina memuatnaik maksud busananya dan menjelaskan satu-persatu bahawa setiap apa yang digayakannya itu, membawa erti bait-bait lirik lagu “Semalam” yang dipertandingkannya di pentas AJL35 malam tadi.
Wanita ayu ini menjelaskan maksud topi gergasi yang di lihat seperti sebuah tempat tidur seorang bayi, atau kanak-kanak kecil itu sebenarnya menggambarkan bait lirik “tinggal ku sendiri, ditemani jasad ini”.
Metafora bait lirik “jasad ini” menggambarkan figura bayi atau kanak-kanak yang ada bersama-sama wanita ini sewaktu berlakunya kisah “Semalam”.
Disebalik Simbolik Jaket Palm Tree Hitam Dan Long Tunic Vietnam
- Foto – Instagram Aina Abdul
Melihat pula jaket pleated sarat inspirasi dari palm tree ini pula, menafsirkan penderitaan yang dialami wanita tersebut sangat berat dan rekaan daun pleated pada jaket membawa maksud bait lirik “diri ini bagai daun gugur”.
Manakala warna hitam jaket ini pula, menandakan daun tersebut sudah tua, layu dan kering. Selain itu, Aina juga menyatakan terdapat helaian dalaman busana merupakan inspirasi originaliti pakaian tradisional orang Vietnam.
Iaitu long tunic atau Ao Dai yang melambangkan keayuan dan sifat feminin seorang wanita, manakala fabrik busana yang polos dan lembut menggambarkan hati wanita yang mudah rapuh serta tersentuh.
Originaliti Elemen Luka Dan Payung Terjun
- Foto – Instagram Aina Abdul
Jangan terlepas pandang warna merah di belakang jaket pleated Aina! Warna merah yang terdapat di belakang jaket tersebut melambang kesan luka dalam lagu “Semalam”.
Dan penggunaan elemen gerakan beralaun payung terjun bersama pantulan cahaya lampu ungu dan imej grafik, menampilkan bait lirik “Engkau pergi jua, tinggal ku sendiri dengan seribu calar ungu”.
Berjaya Bawa Fesyen Unik Tanpa Kekok
- Foto – Instagram Aina Abdul’ Official Fan Club
Dan rasanya tidak salah untuk Wanista katakan, Aina berjaya membawa gaya tersebut tanpa kelihatan kekok di atas pentas.
Nilai artistik, sentimental, pesona yang terdapat dalam lagu “Semalam” yang disampaikan dalam bentuk fesyen ini, cukup mengagumkan dan apa yang pasti sentuhan fesyen eksperimentasi Aina sememangnya lain dari yang lain.
Tahniah Aina Abdul berjaya menggenggam naib juara di AJL ke-35, InsyaAllah ada rezeki AJL ke-36 nanti bolot gelaran juara pula!
The post Aina Abdul ‘All Out’ Di Pentas AJL35, Fesyen Dan Lagu ‘Semalam’ Seiring! appeared first on Wanista.com.